12 July 2009

Hari ini iblis tidak dapat menyelamatkan kamu!!

Al-Quran telah mencatatkan bahawa sepanjang sejarah manusia dari Adam hingga umat Nabi Muhammad, tidak terkira ramainya manusia tumpas di tangan iblis dan bala tenteranya. Antara manusia yang telah disesatkannya termasuklah Firaun, kaum Luth, kaum Nuh, Aad, Hud, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain.
Anda bacalah kisah kejayaan dan kegagalan iblis ini sebagai renungan dan iktibar kepada kita bagi mempersiapkan diri menghadapi musuh utama manusia ini…

Iblis di syurga:Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa sesungguhnya nama iblis pernah dicatat sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang kedua disebut az-Zahid, langit ketiga dipanggil al-Arir, langit keempat dikenali sebagai al-Wali, langit kelima al-Taqi, langit keenam al-Kazin dan di langit ketujuh disebut Azazil manakala di lohmahfuz, namanya dicatat sebagai iblis.
Rupa iblis ketika berada di syurga sangat indah, mempunyai empat sayap (kepak), tinggi ilmunya, kuat beribadah dan dilantik menjadi penghulu para malaikat di syurga.
Apabila tiba saatnya manusia diciptakan, Allah berfirman kepada para malaikat: “Aku akan menciptakan seorang lelaki yang berasal dari tanah lumpur ini. Maka, apabila Aku telah menyempurnakan dan meniupkan roh-Ku ke dalam dirinya, tunduklah kamu semua seraya bersujud.” (Surah Sod, ayat 71-72).
Kisah selanjutnya telah pun diketahui, apabila manusia selesai dicipta, iblis enggan sujud menghormatinya. Tindakan biadab iblis ini menimbulkan kemarahan Allah, Lalu Dia berfirman: “Hai iblis, apakah yang menghalang kamu bersujud kepada (manusia) yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku sendiri? Apakah kamu menyombongkan diri atau termasuk orang yang lebih tinggi?”
Iblis yang ingkar lalu berkata: “Apakah aku harus bersujud kepada orang yang Engkau ciptakan berasal daripada tanah? Iblis berkata lagi: Cuba terangkan kepadaku, inikah orang yang telah Engkau muliakan melebihi aku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sehingga sampai kiamat, nescaya akan kusesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil saja…” (Surah al-Israk)

Wajah iblis bertukar hodoh: Al-Quran melaknat iblis dan mengubah muka iblis yang asalnya sangat indah menyerupai bentuk babi hutan, kepalanya menyerupai unta dan di dadanya tumbuh daging yang menonjol seperti punggung.
Allah turut mengubah bentuk antara kepala dan dada iblis menyerupai seperti kera. Kedua-dua belah matanya terbelah sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka lebar, bibirnya bertukar menyerupai bibir lembu, keluar taring menyerupai babi hutan dan janggut tumbuh sebanyak tujuh helai sahaja.
Setelah wajah asal iblis yang cantik berubah menjadi hodoh, Allah mengusir iblis dari syurga.
Allah berfirman: “Nyahlah!!! Barangsiapa dari mereka mengikutimu, maka neraka Jahannamlah yang patut menjadi balasan bagi kamu semua. Itu balasan yang setimpal. Silalah engkau menghasut sesiapa saja yang engkau sanggupi dari mereka dengan ajakanmu.
“Silalah engkau mengerahkan pasukanmu yang berkuda atau yang berjalan kaki untuk menarik mereka, bersekutulah dengan mereka melibatkan harta dan anak-anak (mereka) dan berilah janji kepada mereka. Janji yang dikemukakan syaitan tidak lain kecuali tipuan belaka. Sesungguhnya hamba-hamba-Ku (yang taat), kamu tidak dapat berbuat apa-apa kepada mereka. Cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.” (Surah al-Israk)

Saat-saat iblis menemui ajal: Apabila dunia telah kiamat dan tiada lagi makhluk yang tinggal di dunia baik manusia, jin, syaitan mahupun haiwan, maka sampailah saat yang ditentukan Allah kepada iblis.
Allah berfirman kepada malaikatulmaut: “Aku telah menjadikan pembantu untukmu sebanyak orang yang ada mula hingga terakhir, dan Aku telah memberi kekuatan penduduk langit serta bumi, dan kini Aku pakaikan kepadamu pakaian murka dan marah.
“Oleh itu, turunlah kamu dengan membawa marah dan murka-Ku terhadap si malaun terkutuk, maka rasakanlah kepada iblis kepedihan maut berlipat kali ganda seperti yang dialami oleh hamba-Ku dari mula hingga yang terakhir daripada jin dan manusia.”
Firman Allah lagi: “Dan hendaklah kamu membawa 70,000 malaikat yang semuanya penuh dengan sifat murka, dan setiap malaikat Zabaniah membawa rantai dari neraka Ladha, dan cabutlah dengan 70,000 cungkilan dari neraka Ladha. Dan perintahkanlah malaikat Malik supaya membuka semua pintu neraka.”
Setelah mendapat perintah daripada Allah, maka malaikatulmaut pun turun dengan rupa yang paling menakutkan. Seandainya penduduk langit dan dunia melihatnya, nescaya cair semuanya.
Apabila sampai saja malaikatulmaut, iblis itu ditengkingnya dengan suara bagaikan halilintar. Hanya dengan sekali tengking sahaja, iblis terus pengsan hingga berdengkur.
Sekiranya dengkuran iblis itu didengar penduduk Timur hingga Barat nescaya pengsan semuanya. Wajah iblis terus kecut dan menggeletar.
Setelah tersedar, iblis ditengking lagi oleh malaikatulmaut.
“Berhentilah kamu iblis laknat yang jahat! Kini rasalah pedihnya maut sebagaimana yang dirasai oleh orang-orang yang engkau sesatkan dalam beberapa abad dari hidupmu. Inilah hari yang ditentukan Allah, ajal kamu. Kemanakah kamu hendak lari?”
Apabila iblis mendengar suara malaikatulmaut hendak mencabut nyawanya, maka ia pun lari ketakutan sehingga ke hujung Timur. Tetapi malaikatulmaut sudah berada di hadapannya.
Iblis yang ketakutan menyelam ke dalam laut, tetapi malaikatulmaut telah bersedia di depannya, lalu laut melemparkannya ke daratan. Maka larilah iblis mengelilingi bumi kemudian mencari kubur Nabi Adam.
Di depan kubur Nabi Adam, iblis berkata:
“Disebabkan kamulah maka aku menjadi malaun(celaka).”
Setelah tidak terdaya lari lagi, iblis bertanya malaikatulmaut: “Minuman apakah yang akan kamu berikan kepadaku dan seksa apakah yang dikenakan terhadapku?”
Malaikatulmaut berkata: “Kamu diberi minuman dari neraka Ladha, seksa yang kamu terima serupa dengan seksa ahli neraka dan berlipat kali ganda.”
Mendengar kata-kata itu, iblis terus berguling-guling di atas tanah sambil menjerit-jerit sekuat hatinya kemudian lari lagi dari Barat ke Timur dan berbalik sehingga pada suatu tempat ketika diturunkan ke bumi dulu.
Di lokasi itulah iblis dihalang oleh malaikat Zabaniah dengan rantai di tangannya. Bumi menggegelak dengan api yang marak apabila malaikat Zabaniah melontar iblis dengan batu-batan dari neraka Ladha sehinggalah saat-saat sakaratulmautnya.

Pidato iblis dalam neraka: Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai ke neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar daripada api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota daripada api dan diikat iblis dengan tali daripada api.
Ketika itu terdengarlah suara menyeru iblis: “Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka!”
Iblis pun naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para penghuni neraka! Wahai orang-orang yang kafir dan munafik! Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan janji yang benar dan bahawa kamu semua mati, akan dihalau dan dihisab untuk menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa’ir…”
Semua penghuni neraka mendengar segala ucapan iblis yang menjadi ketua mereka. Iblis menyambung: “Kamu semua menyangka bahawa kamu tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia selama-lamanya.
“Tidak! Tidaklah ada bagiku kekuasaan ke atasmu melainkan aku hanya mengganggu dan memperdaya kamu semua dengan tipu muslihat. Akhirnya, kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu.
“Oleh itu, janganlah kamu mengumpat dan mencaci aku, sebaliknya umpatlah diri kamu sendiri kerana sesungguhnya kamu sendirilah lebih berhak mengumpat daripada aku mengumpat.”
Iblis terus berucap sambil menyoal kebodohan penghuni neraka. Sambil menempelak, iblis mengakui Allah lah yang paling berkuasa menciptakan segala sesuatu.
“Mengapa kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan Dialah Allah yang menciptakan segala sesuatu?” soal iblis.
Iblis mengakhiri pidatonya dengan berkata: “Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksaan Allah dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari ini aku telah terlepas daripada apa yang telah aku katakan kepada kamu dahulu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari hadrat Tuhan, seru sekalian alam.
Setelah itu iblis dipukul malaikat Zabaniah dengan tombak daripada api dan jatuh ke neraka paling bawah. Kekal iblis di situ bersama-sama dengan pengikut-pengikut setianya.

0 teguran:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin